ALOR SETAR: Persatuan Bola
Sepak Kedah (KFA) pada Isnin mengumumkan bekas jurulatih Kelab Home United
Singapura, Aidil Sharin Sahak dilantik memegang jawatan ketua jurulatih Kedah
untuk membimbing pasukan berkenaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2019.
Turut diumumkan ialah
pelantikan bekas jurulatih Piala Presiden, Victor Andrag sebagai penolong ketua
jurulatih Kedah yang baharu.
Presiden KFA, Datuk Seri
Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pelantikan Aidil Sharin dan Victor itu dibuat
kerana KFA yakin kedua-dua individu itu mampu mengembalikan kegemilangan
pasukan Lang Merah yang menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam
saingan Liga Malaysia musim ini.
"Keputusan ini dibuat
hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA hari ini dan buat
masa ini kita sedang menyelesaikan beberapa rundingan akhir dan kita akan
menandatangani kontrak mereka dalam masa terdekat," katanya kepada
pemberita di sini Isnin.
Pada 17 Ogos lepas,
Setiausaha Kehormat KFA Mohd Asmirul Anuar Aris memaklumkan bahawa Mohd Nidzam
Adzha Yusoff "direhatkan" daripada jawatan ketua jurulatih Kedah dan
jawatan itu telah dipangku sementara oleh Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi
Aziz.
Mukhriz yang juga Menteri
Besar Kedah berkata KFA memberi mandat sepenuhnya kepada Aidil Sharin untuk
membuat sebarang keputusan termasuk memilih dan mencadangkan barisan pemain
baharu termasuk pemain import yang sedia ada mahupun yang ingin diambil untuk
beraksi bersama KFA.
"Semua keputusan kita
serahkan kepada dia (Aidil Sharin). Dia akan buat keputusan apa yang baik untuk
KFA termasuk sama ada hendak kekalkan atau lepaskan pemain import sedia ada
atau hendak tukar semua pemain import terpulang pada dia dan kita akan
pertimbangkan secara positif.
"Sehingga kini, seramai
lima pemain yang masih mempunyai baki kontrak sehingga akhir tahun hadapan
manakala yang lain akan tamat pada musim ini," katanya.
Sementara itu, beliau
berkata bagi membawa pembaharuan kepada KFA, pemohonan jawatan pengurus pasukan
akan dibuka kepada mana-mana golongan yang merasakan mereka layak untuk
memegang jawatan tersebut sepenuh masa dengan menghantar permohonan yang dibuka
sehingga 8 November ini.
"Kita buka peluang
kepada sesiapa yang layak dan berhubung tajaan pula, syarikat ECK Development
Sdn Bhd berminat untuk terus memberi tajaan bagi musim hadapan namun jumlah
tajaannya masih belum diputuskan lagi," katanya. - BERNAMA