8 Oktober 2018

TENTERA BUKAN AHLI POLITIK


PORT DICKSON 8 Okt. - Calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar mengingatkan anggota tentera yang terlibat dengan pengundian awal esok agar tidak terikat dengan mana-mana parti politik untuk memperjuangkan nasib mereka.

Menurut beliau, anggota badan beruniform juga mempunyai hak demokrasi yang perlu diraikan dan ia tidak seharusnya dipengaruhi mana-mana pihak.

“Saya tahu kesetiaan mereka adalah kepada pemimpin dan kerajaan, namun saya ingatkan kepada rakan-rakan tentera, kita sekarang bukan tentera kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi tentera Yang di-Pertuan Agong, tentera diraja.

“Ketaatan kita adalah kepada raja dan negara, oleh itu jangan bimbang untuk mengundi mana-mana calon kerana itu hak demokrasi yang perlu diraikan. Jika anda fikir saya calon yang membawa aspirasi perjuangan tentera serta veteren, inilah masanya beritahu kerajaan PH,” katanya ketika ditemui selepas sesi temu bual bersama Utusan Online di sini hari ini.

Mohd. Nazari yang juga Presiden Kelab Kebajikan Veteren dan Pesara Tentera (Kerabat) berkata, beliau yakin dirinya merupakan individu sesuai memperjuangkan kebajikan anggota tentera dan veteran seperti termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera 1973.

Katanya, setiap anggota tentera dan isteri layak menerima dua tanah lot perumahan dan lapan hektar tanah pertanian mengikut perintah tersebut.


“Jika dipilih, saya mahu menggesa kerajaan PH supaya perkara itu ditimbulkan semula dan menjadikannya realiti. Kita menyarankan tanah di Felda Palong 17 dan 22 yang masih kosong disusun dan diserahkan semula kepada golongan veteren atau berkongsi bersama rakyat lain,” ujarnya. Bernama