KUALA
LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu bagi menjana hasil
negara dalam usaha membayar hutang negara yang tinggi, kata Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Perdana
Menteri berkata, kerajaan juga mempertimbangkan untuk melepaskan aset negara
seperti tanah bagi mengurangkan beban untuk membayar hutang yang ditinggalkan
oleh kerajaan terdahulu.
“Ia
cukai yang berbeza tetapi akan mengurangkan beban rakyat. Inilah
tujuannya...untuk bayar hutang kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas
menyampaikan ucaptama sempena Forum Malaysia Dalam Era Baharu anjuran RHB,
Maybank dan CIMB di sini, hari ini.
Ketika
berucap pada forum berkenaan, Dr Mahathir berkata, kerajaaan perlu melepaskan
akses baharu bagi mendapatkan dana untuk menyelesaikan krisis hutang negara.
“Dalam
situasi yang sebenar, duit digunakan untuk melabur dan mendapatkan dividen dan
kita tahu duit itu dilaburkan di mana. Jika kita tahu duit itu di mana
dilaburkan, sekarang kita tidak tahu di mana wang itu berada. Sebab itu kita
kena cari sumber lain.
“Ada
cadangan supaya kerajaan melepaskan aset seperti tanah dan menjualnya kepada
pelabur tempatan. Hasil daripada pembangunan itu, ia akan disalurkan kembali
kepada kerajaan,” katanya.
Beliau
turut yakin Malaysia mampu bangkit kembali daripada krisis kewangan ketika ini
yang hampir sama pernah dihadapi negara pada tahun 1997/1998.
“Krisis
1997/98 kita cari solusi sendiri dan sekarang situasi agak sama. Bila mata wang
rendah, ekonomi juga perlahan. Masalah ketika ini ialah kita perlu cari duit
untuk bayar hutang yang besar oleh kerajaan sebelum ini.
“Kita
yakin kita mampu atasi krisis ini kerana kita sudah tempuhi dan berjaya tangani
masalah itu sebelum ini,” katanya.
Dalam
pada itu, Dr Mahathir mahu forum yang diadakan pada hari ini mampu menyumbang
idea kepada pembentukan dasar kerajaan dan Malaysia kembali menjadi Harimau
Asia yang digeruni di rantau ini.
“Dalam
lawatan saya ke Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sebelum ini, kita
telah berjaya menarik minat pelabur di sana untuk datang ke Malaysia.
“Saya
pasti masa itu akan tiba dan ia akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara
dan merapatkan jurang hutang negara,” katanya.
Beliau
turut menzahirkan rasa kecewa terhadap pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Saya
kecewa terhadap pentadbiran pengurusan kewangan kerajaan terdahulu dan kerja
yang perlu dilakukan untuk selesaikan masalah yang ditinggalkan,” katanya.