Datuk Salahuddin Ayub berkata
kerajaan tidak mahu tergopoh-gapah untuk memperkenalkan model baharu bagi
menggantikan Bernas.
KUALA
LUMPUR, 17 Okt — Kerajaan sedang mengkaji antara lain untuk membuka monopoli
Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebanyak 30 peratus pada tahun depan kepada
pemain industri padi dan beras yang lain sebelum konsesi syarikat itu tamat
sepenuhnya pada 2021.
Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata ini adalah
antara pandangan beberapa pihak yang dikemukakan sebagai satu kaedah ‘soft
landing’ sebelum industri berkenaan dibuka sepenuhnya tanpa monopoli Bernas.
Beliau
berkata kerajaan tidak mahu bersifat tergopoh-gapah untuk memperkenalkan model
baharu bagi menggantikan Bernas kerana ia melibatkan soal keselamatan makanan
negara.
“Sebagai
menteri yang diamanahkan, visi kita tidak setakat melihat untuk kita mewujudkan
satu badan bagi menggantikan Bernas tanpa lihat visi lebih jauh. Isu makanan
adalah isu keselamatan negara.
“Maka
beberapa pandangan lebih jelas dan luas perlu diperhitungkan,” katanya pada
sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat kepada pertanyaan Rusnah
Aluai (PH-Tangga Batu) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang menubuhkan
semula Lembaga Padi dan Beras Negara bagi mengambil alih fungsi Bernas.
Salahuddin
berkata kajian lanjut mengenai model baharu bagi menggantikan monopoli Bernas
sedang dibincang satu jawatankuasa khas dianggotai lapan kementerian dan
diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Ini
satu perkara besar oleh itu kita berbincang dalam aspek pertumbuhan pembangunan
lestari dan trend mega yang harus kita perhitungkan,” katanya.
Menurutnya,
kajian komprehensif itu harus melihat aspek urbanisasi dengan tanah pertanian
dan bendang semakin mengurang, pertambahan penduduk menjelang 2050 dengan
populasi negara diunjur mencecah 45 juta orang serta perubahan gaya hidup dan
diet masyarakat.
Beliau
berkata isu menamatkan monopoli Bernas sebagaimana dijanji dalam manifesto PH
pada pilihan raya umum lalu adalah satu kewajipan yang kerajaan berikrar untuk
merealisasikan.
Dalam
masa sama, katanya kerajaan akan terus mempertahankan lima kewajipan sosial
terhadap petani apabila memecahkan monopoli Bernas.
“Pertama
menyelenggara dan mengurus stok penimbang negara, kedua membeli padi dari
petani dengan harga minimum dan terjamin, ketiga bertindak menjadi pembeli
terakhir petani, keempat mengurus pembayaran subsidi kepada petani di bawah
Skim Subsidi Harga Padi, kelima menguruskan skim pengilang Bumiputera,”
katanya.
Salahuddin
berkata pengeluaran padi negara turut dilihat tidak meningkat berbanding negara
luar memandangkan keluasan jelapang padi negara hanya sekitar 600,000 hektar,
berbanding Thailand sekitar 10 juta hektar dan Vietnam, lapan juta hektar. —
Bernama