KANGAR:
Tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang sering menimbulkan ‘kekecohan’
ketika pemilihan parti yang sedang berlangsung di seluruh negara boleh
merosakkan imej parti di mata rakyat.
Pengerusi
PKR Perlis, Mohammad Faisol Abd Rahman, berkata tuduhan yang dilemparkan Rafizi
bahawa wujudnya politik wang dalam pemilihan parti turut menggugat kerjasama
yang terjalin antara PKR dan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
“Dia
seharusnya bersikap profesional dalam menangani perkara ini (politik wang dalam
pemilihan parti) dan tidak boleh bertindak melulu sekiranya benar apa yang
didakwanya.
“Rafizi
kena sedar kerana provokasi yang ditimbulkan olehnya boleh memburukkan hubungan
antara PKR dan parti lain dalam PH kerana ia seolah-olah menggambarkan PKR
adalah parti yang huru-hara dan tidak beradab,” katanya kepada NSTP hari ini.
Mohammad
Faisol berkata, sepanjang tempoh pemilihan parti itu dijalankan, hanya Rafizi
yang begitu bersemangat menggunakan media sebagai medium untuk menjatuhkan
lawannya.
“Jika
betul pun (ketirisan), sepatutnya dia mengadu perkara ini kepada Jawatankuasa
Pemilihan Parti (JPP) bukannya dicanangkan kepada umum melalui media.
“Malah
sehingga semalam, JPP tidak menerima satu pun aduan mengenai dakwaannya itu.
Jangan memburukkan keadaan dengan hanya sedap berkata sahaja,” katanya.
RAFIZI RAMLI
Beliau
berkata, PKR bukanlah parti yang sanggup ‘membunuh’ ahli keluarganya sendiri
hanya untuk kepentingan individu.
Terdahulu
Rafizi mendakwa bahawa sebanyak enam negeri terbabit dalam politik wang ketika
pemilihan parti itu sedang rancak berlangsung.
Bagaimanapun
dakwaan Rafizi itu diselar oleh Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang
mendesak agar bekas Ahli Parlimen Pandan itu mengemukakan bukti kerana dakwaan
itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak berasas.
Malah
semalam, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din, berkata PKR tidak menerima sebarang
laporan rasmi mengenai politik wang dalam pemilihan parti itu termasuk daripada
Rafizi sendiri.
Rashid
berkata, JPP tidak melayan aduan berdasarkan cakap-cakap kerana sukar untuk
menyiasat perkara itu.