16 Oktober 2018

SYED SADDIQ MEMBERI NASIHAT KEPADA MEDIA




KUALA LUMPUR: Setelah dikecam hebat oleh pengguna media sosial, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memberi nasihat kepada wartawan supaya lebih waspada ketika membuat laporan.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, sepatutnya media perlu mencari bahan yang lebih mustahak untuk membuat laporan yang lebih penting pada masa hadapan.

Katanya, media harus mengutamakan apa yang penting dahulu daripada melaporkan berita yang tidak sepatutnya.

“Saya baru komen pasal isu penting dalam Parlimen tadi. Saya cadangkan baik kamu fokus pasal itu juga.

“Kalau boleh buat liputan pasal isu yang lebih pentinglah. Itu saya rasa lebih mustahak.

“Media pun was-was (waspada) buat laporan juga,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Syed Saddiq bertindak memadam ‘senyap-senyap’ gambarnya tidak berbaju sambil berendam dalam tab mandi berisi ais yang dimuat naik di laman sosial.

Beliau memuat naik gambar dirinya yang sedang menjalani terapi ais selepas perlawanan bola sepak persahabatan sempena Hari Sukan Negara 2018 Sabtu lalu.