KUALA LUMPUR, 20
Okt – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah mengingatkan pemimpin
negara bahawa negara ini dan rakyat adalah amanah yang dipertanggungjawabkan
kepada mereka, justeru harus dijaga dengan pemerintahan yang benar dan adil.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah – Sultan Perak
Titah baginda
mereka perlu melaksanakan tanggungjawab itu dengan jujur dan berintegriti
seiring dengan janji yang diberikan kerajaan yang dibentuk pasca Pilihan Raya
Umum ke-14 apabila surat-surat rasmi kerajaan yang sebelum ini ditandatangani
bawah klausa ‘Saya Yang Menurut Perintah’ ditukar kepada ‘Saya yang menjalankan
Amanah’.
“Para ulama
berpendirian bahawa agama tidak akan tertegak, begitu juga dunia tidak akan
menjadi baik tanpa keberadaan pemimpin yang bersikap amanah. Kebaikan
sesuatu bangsa dipengaruhi oleh sifat pemimpinnya, kerana itu tokoh sosiologi
Islam Ibn Khaldun meletakkan ukuran kebaikan sesuatu bangsa ditentukan oleh
kualiti dan nilai kepimpinan bangsa tersebut,” titah baginda.
Sultan Nazrin yang
juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian pada Istiadat
Konvokesyen ke-58, universiti itu, di sini.
Titah baginda
amanah merupakan kunci penentu yang boleh membangunkan sesuatu bangsa, negara,
tamadun dan keagungan sementara ketiadaan sifat amanah terbukti telah atau
berpotensi menghancurkan sesuatu bangsa, negara, tamadun dan keagungan.
Titah Sultan
Nazrin, amanah berdepan dugaan besar apabila pemimpin terkena penyakit tamak
kuasa dan mendapatkan kuasa itu dijadikan matlamat yang diusahakan dengan
menghalalkan cara.
“…
dan penyakit gila kuasa menjadi bertambah kronik apabila pemimpin dikelilingi
oleh barisan penasihat yang jahil,” titah baginda.
Baginda juga
bertitah dunia hari ini menghadapi ketandusan orang yang memiliki sifat amanah
sekalipun mempunyai ramai orang berpengetahuan.
“Insan
berpengetahuan yang diperlengkap dengan sifat amanah akan mempamerkan watak
insan berilmu,” titahnya.
Sementara itu,
Sultan Nazrin menzahirkan ucapan ucapan tahniah dan penghargaan kepada warga UM
atas kejayaan melonjakkan kedudukan universiti dari tangga ke-114 tahun lepas
ke rangking 87 terbaik di dunia menurut QS World University Rangkings 2018.
Konvokesyen kali
ini menyaksikan 5,279 graduan menerima ijazah masing-masing dengan 540 menerima
ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (1,768), ijazah sarjana muda (2,928) dan
43 graduan menerima Diploma Pasca Siswazah Pendidikan.
Konvokesyen kali
ini turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Datuk Dr.
Mahmood Osman Merican dan Ijazah Kehormat Doktor Harta Tanah kepada Tan Sri Sr.
Abdul Rahim Abdul Rahman serta gelaran Profesor Emeritus kepada
Prof. Datuk Dr. Goh Khean Lee, Prof. Datuk Dr. Norma Mansor dan Prof. Ir. Dr.
Masjuki Hassan.